Oleh Dr Sahlawati Abu Bakar
DALAM banyak perbualan hari ini, perkataan amanah dan integriti kerap disebut. Ia menjadi slogan dalam ucapan dan poster, bahkan tertera dalam misi dan visi organisasi. Namun, adakah ia benar-benar hidup dalam tindakan atau sekadar tinggal sebagai nama dan kata-kata indah?
Amanah dan integriti ialah nilai asas yang sudah lama digariskan dalam al-Quran dan Sunnah. Islam memandang setiap urusan kehidupan manusia termasuk pekerjaan, kepemimpinan dan pengurusan organisasi sebahagian daripada ibadah, selagi dilaksanakan mengikut garis panduan syariat dan diniatkan kerana Allah SWT.
Perkataan amanah berasal daripada kata akar amana bermakna kepercayaan dan lawan kepada khianat. Dalam konteks Islam, amanah bukan sekadar melaksanakan tugasan diberikan, tetapi merangkumi niat, kejujuran dan kesungguhan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin.
Seseorang yang memahami maksud amanah akan menyedari tugas dipikulnya bukan hanya dipersoalkan manusia, bahkan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Kesedaran inilah melahirkan pekerja dan pemimpin bukan sahaja cekap, bahkan berakhlak, tidak mementingkan diri dan mengutamakan kepentingan awam.
Al-Quran mengingatkan amanah adalah beban besar diterima manusia. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Kami kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara tidak patut dikerjakan.” (Al-Ahzab: 72)
Islam menegaskan pengkhianatan terhadap amanah adalah tanda kelemahan iman. Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Al-Anfal: 27)
Dalam kehidupan seharian, pengkhianatan amanah tidak semestinya berlaku dalam bentuk besar seperti rasuah atau salah guna kuasa. Ia juga boleh berlaku dalam bentuk kecil tetapi berulang seperti kerja sambil lewa, menipu laporan, menyalahgunakan masa kerja atau menutup kesalahan demi kepentingan diri. Apabila perkara ini menjadi budaya, amanah hanya tinggal nama yang disebut, tetapi tidak dihayati.
Integriti pula sering dikaitkan dengan tadbir urus dan kepemimpinan. Ia merujuk kepada keselarasan antara apa dipercayai, diucapkan dan dilakukan. Dalam Islam, integriti tidak boleh dipisahkan daripada amanah, kejujuran dan tanggungjawab.
Nabi SAW memberi peringatan tegas melalui hadis yang masyhur: “Ciri-ciri orang munafik itu tiga. Apabila dia bercakap dia berdusta, apabila dia berjanji dia memungkiri janji dan apabila dia diberikan amanah dia mengkhinatinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan integriti bukan isu teknikal, tetapi isu akhlak dan keimanan. Apabila integriti runtuh, kepercayaan akan hilang dan apabila kepercayaan hilang, sistem akan rosak dari dalam.
Dalam membicarakan amanah dan integriti, teladan paling agung ialah Nabi Muhammad SAW yang dikenali dengan gelaran al-Amin. Walaupun Baginda seorang berkepentingan dan mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat Makkah, amanah tetap dijaga tanpa kompromi.
Bahkan ketika ditentang hebat golongan Musyrikin Makkah, mereka masih percaya menyerahkan harta kepada Baginda untuk dijaga kerana yakin tidak akan dikhianati. Ketika berhijrah ke Madinah, Nabi SAW tidak mengabaikan amanah berkenaan, sebaliknya mengamanahkan Saidina Ali RA untuk memulangkan semua titipan kepada pemiliknya.
Inilah bukti amanah dalam Islam kekal wajib dipelihara walau ketika berkuasa, tertekan atau berdepan kepentingan diri.
Dalam sesebuah organisasi, amanah dan integriti memberi kesan besar. Organisasi dipimpin individu beramanah akan mengalami kos pemantauan lebih rendah kerana kepercayaan menggantikan syak wasangka.
Sebaliknya, apabila amanah runtuh, organisasi terpaksa bergantung kepada kawalan ketat, prosedur berlapis dan pengawasan berlebihan. Tenaga dan masa dihabiskan untuk mengawal manusia, bukan membangunkan potensi.
Islam menekankan amanah diserahkan kepada yang layak. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Al-Nisa’: 58)
Ayat ini amat relevan dalam konteks pelantikan jawatan dan kepemimpinan. Apabila jawatan diberikan bukan berdasarkan kelayakan dan integriti, kerosakan sistem menjadi hampir pasti.
Nabi SAW mengingatkan jawatan dan kuasa adalah amanah yang berat.
Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Abu Dzar yang meminta jawatan (kekuasaan) daripada Baginda: “Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau lemah. Sungguh jawatan itu adalah amanah dan sungguh ia menjadi kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat, kecuali orang yang mengambil amanah itu dengan benar dan menunaikan kewajipan di dalamnya” (HR Muslim)
Antara isu paling membimbangkan hari ini ialah pecah amanah dilakukan individu yang sepatutnya menjadi penjaga amanah. Golongan ini mungkin memegang jawatan, kuasa atau kedudukan tinggi, namun gagal menunaikan tanggungjawab dengan jujur dan beretika.
Apabila amanah dikhianati mereka yang dipercayai, kesannya jauh lebih besar kerana ia meruntuhkan kepercayaan awam dan mencederakan integriti sistem secara menyeluruh.
Pecah amanah sering berlaku apabila seseorang merasakan kebal atau dilindungi kedudukan. Hakikatnya, pengawasan manusia mungkin terlepas pandang tetapi pengawasan Allah SWT tidak pernah lalai. Alasan prosedur atau tekanan keadaan tidak pernah menghalalkan pengkhianatan.
Integriti tidak lahir daripada polisi semata-mata, tetapi daripada jiwa sedar akan pengabdian kepada Allah SWT. Dalam Islam, amanah terbahagi kepada dua: amanah kepada Allah (iman, takwa dan ketaatan) dan amanah kepada manusia (keadilan, akauntabiliti dan tanggungjawab sosial).
Amanah dan integriti tidak seharusnya tinggal sebagai nama dan kata-kata. Ia mesti diterjemahkan dalam keputusan, tindakan dan sikap harian. Selagi amanah dipikul dengan kesedaran bahawa setiap perbuatan dinilai oleh Allah SWT, selagi itulah integriti akan hidup dan sistem masyarakat akan kekal sihat.
Apabila amanah dihidupkan semula sebagai ibadah dan integriti difahami sebagai akhlak, barulah pekerjaan menjadi berkat, kepemimpinan dihormati dan masyarakat kembali stabil serta sejahtera.
